Friday, March 2, 2012

Sakit Sendi Osteoartritis.Simptom, Diagnosis Dan Rawatan

















Osteorartritis Sendi Lutut
Artritis merupakan salah satu daripada masalah-masalah sendi yang paling biasa ditemui. Ia boleh melibatkan individu-individu dalam pelbagai lingkungan umur. Terdapat berbagai jenis artritis. Pada dasarnya artritis merupakan penyakit di mana lapisan rawan pada permukaan tulang-tulang sendi menjadi haus, nipis dan rosak. Ini mendedahkan permukaan tulang menyebabkan geseran antara permukaan tulang, serta pembentukan ‘duri’ tulang (spur) pada hujung-hujung tulang.

Tanda-tanda dan Gejala-gejala Penyakit Osteoartritis
Gejala-gejala yang kerap dialami oleh pesakit adalah seperti sendi membengkak, sakit panas dan sukar untuk digerakkan.
Aktiviti-aktiviti harian menjadi terbatas seperti mencangkung, melutut, duduk di atas bangku dan kadang-kadang sakit tersebut menjadi bertambah serius. Pesakit juga akan merasa sakit dan sukar untuk digerakkan apabila ingin bangun dari kerusi dan mula berjalan.
Apabila doktor memeriksa sendi anda, tanda-tanda yang didapati adalah seperti sendi menjadi sakit pabila digerakkan atau disentuh. Terasa geseran dan bunyi kasar semasa bergerak. Tanda-tanda ini menunjukkan kehilangan lapisan rawan pada permukaan sendi lutut.
Pemeriksaan dan Diagnosis
Biasanya, diagnosis dibuat secara klinikal dan berdasarkan daripada aduan pesakit. Doktor akan cuba memastikan sakit tersebut bukan daripada diagnosis penyakit yang lain seperti Rheumatoid Artritis, Septic Artritis, dan sebagainya.
Kemudiannya, X-Ray akan dilakukan untuk melihat sama ada rawan menjadi semakin nipis atau tidak. X-Ray juga penting sekiranya anda memerlukan pembedahan penukaran sendi otot.
Rawatan Osteoartritis
Tujuan utama rawatan adalah untuk mengurangkan rasa sakit dan memperbaiki fungsi sendi supaya pesakit dapat melakukan aktiviti-aktiviti harian.
1. Ubahsuai Aktiviti Harian
Aktiviti-aktiviti harian seperti mencangkung, melutut, duduk atas bangku rendah, naik dan turun tangga atau apa-apa pergerakan yang memberi beban kepada sendi lutut harus dikurangkan. Limitkan pergerakan anda dalam satu-satu masa. Kenal pasti isyarat sakit yang datang dan pastikan anda berhenti melakukan aktiviti tersebut. Kemudian anda boleh tingkatkan masa secara perlahan-lahan dan berjadual.
Sebagai contoh, anda ingin menaiki tangga. Dan pada tangga kelima, anda pasti akan merasa sakit.Maka, apabila sampai di tangga yang keempat, berhenti untuk seketika dan kemudian teruskan. Lakukan perkara yang sama untuk aktiviti-aktiviti lain. Rekodkan aktiviti anda. Kemudian dari hari ke hari, cuba tambahkan bilangan tangga yang anda naiki secara perlahan-lahan dan konsisten.
Memaksa diri untuk melakukan kerja walaupun berasa sakit hanya akan menyebabkan rawan anda menjadi semakin nipis dan kesakitan anda akan semakin bertambah walaupun ubat yang diberikan doktor adalah mencukupi.
2. Rawatan Fizikal
Rawatan dengan menggunakan pek ais amat berguna sekiranya terdapat sakit sendi lutut yang akut (tiba-tiba). Untuk mengurangkan kekakuan sendi, rawatan dengan pek panas adalah berkesan. Senaman untuk menguatkan otot hadapan peha (quadriceps) adalah penting untuk menstabilkan sendi lutut. Pada masa yang sama, senaman untuk menggerakkan sendi lutut diperlukan untuk mengurankan kekakuan sendi lutut. Anda boleh menggunakan seperti tongkat, ‘knee brace’ untuk menurangkan beban ke atas sendi lutut tetapi jangan gunakan untuk jangka masa yang panjang kerana ia akan menyebabkan anda bergantung sepenuhnya dengan bantuan tersebut.
Rawatan Farmakologi
Ubat-ubat yang boleh digunakan untuk merawat penyakit arthritis sendi lutut boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori yang pertama adalah ubat yang mengurangkan simptom dan tanda-tanda. Kategori yang kedua adalah untuk mengubah struktur lapisan rawan sendi lutut.
1. Ubat tahan sakit
Ubat-ubat yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan termasuk paracetamol dan tramadol amat biasa digunakan untuk mengurangkan sakit sendi, terutamanya bagi pesakit yang mempunyai gastritis dan ulser perut. Kegunaan NSAIDS dan COXIBS akan memburukkan lagi keadaan tersebut.
2. Ubat-ubat Anti-Inflamasi Bukan Steroids (NSAIDS)
Kumpulan ubat ini adlaah penting untuk mengurangkan komponen inflamasi penyakit osteoartritis. Pesakit yang kerap hadapi tanda-tanda seperti bengkak sendi, sakit dan panas sendi perlu dirawati dengan kumpulan ubat anti-inflamasi ini.
Walaubagaimanapun, ubat-ubat ini boleh menyebabkan gastrik dan mengganggu fungsi buah pinggang terutamanya di kalangan orang tua. Justeru, ubat ini patut diberikan pada dos yang minimum dalam jangka masa yang pendek.
3. Penghalang Cox-2
Kumpulan ubat ini bertujuan mengurangkan kesan sampingan ubat anti-inflamasi NSAIDS. Umpanya Etoricoxib, Celecoxib, Meloxicam adalah ubat-ubat yang digunakan untuk merawati penyakit artritis dan rheumatism. Ubat -ubat ini tidak sesuai untuk pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit arteri koronari, angin ahmar serta penyakit alahan pada ubat-ubat ini. Ubat ini juga patutu diberikan pada dos yang minimum dalam jangka masa paling pendek.
4. Glucosamine Sulfate
Glucosamine, adalah sebahagian daripada aminomonosaccharide glucosamine semula jadi yang mempunyai saiz dan berat molekul yang kecil, 179 daltons. Ia adalah sebahagian daripada lapisan rawan pada permukaan sendi serta cecair sendi synovium.
Berbagai penyelidikan perubatan telah menunjukkan betapa berkesannya glucosamine sulfate dalam mengurangkan tanda-tanda sakit serta meningkatkan pergerakan pada sendi. Penggunaan glucosamin sulfate pada jangka masa panjang juga dapat mencegah kerosakan struktur rawan pada sendi.
5. Chondroitin Sulfate
Chondroitin sulfate, sejenis glycosaminoglycan yang mempunyai saiz molekul yang amat besar, antara 10,000 hingga 40,000 daltons juga digunakan untuk merawati penyakit sendi 0steoartritis. Bahan ini didaftarkan sebagai suplemen makanan di Malaysia. Penyelidikan selanjutnya adalah perlu untuk menunjukkan keberkesanan bahan ini.
Suplemen Makanan, Herba dan Perubatan Tradisional
Walaupun terdapat berbagai testimoni yang mengatakan betapa bergunanya suplemen makanan, herba dan perubatan tradisional, terdapat banyak juga pesakit yang menghadapi kesan-kesan sampingan dengan cara rawatan ini.
Proses pendaftaran suplemen makanan, herba dan perubatan tradisional adalah berlainan jika dibandingkan dengan pendaftaran ubat. Kawalan keatas bahan-bahan ini adalah lebih longgar.
Sekiranya anda menerima cara rawatan dengan bahan-bahan tersebut di atas, anda perlu memberitahu kepada doktor anda untuk mengelakkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.


Suntikan Sendi Dengan Hyaluronic Acid

Hyaluronic acid merupakan sejenis bahan yang terdapat di dalam tisu synovium sendi. Penggunaan suntikan bahan ini ke dalam sendi amatlah meluas ntuk mengurangkan kesakitan sendi serta meningkatkan pergerakan sendi. Suntikan ini diberikan sekali seminggu, ntuk tiga hingga 5 suntikan. Setiap jenis suntikan hyaluronic acid adalah berbeza dari segi saiz dan berat molekul. Suntikan ubat ini boleh mengurangkan sakit sendi, memperbaiki pergerakan serta meningkatkan fungsi-fungsi sendi.
Suntikan Sendi dengan Steroids
Suntikan sendi dengan ubat corticosteroids digunakan dengan meluas untuk mengurangkan komponen inflamasi osteoartritis. Ubat ini berkesan selama satu hingga beberapa bulan. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat ini secara berlebihan boleh membawa kepada pelbagai kesan sampingan. Adalah tidak digalakkan untuk menggunakan ubat ini lebih daripada tiga suntikan setahun.
Rawatan Pembedahan

1. Pembedahan artroskopi sendi
Pesakit yang kerap mempunyai masalah bengkak dan inflamasi sendi yang berulangan akan bermanfaat dengan menggunakan cara rawatan pembedahan artroskopi. Artroskopi bertujuan untuk memeriksa kerosakan di dalam ruang sendi umpamanya kerosakan pada meniscus, kerosakan lapisan rawan serta pembentukan tulang berlebihan (spur) pada hujung tulang. Kerosakan tersebut boleh dicukur, dibersihkan, serta dibuang dari ruang sendi. Ini bertujuan untuk mengurangkan proses inflamasi serta kerosakan mekanikal yang selanjutnya.
2. Pembedahan pertukaran sendi
Pembedahan pertukaran sendi lutut adalah pembedahan pertukaran sendi yang paling kerap dijalankan. Keputusan pembedahan ini adalah amat menggalakkan, ramai pesakit dapat kembali kepada fungsi aktiviti harian. Tujuan utama pembedahan ini ialah menghilangkan kesakitan sendi lutut terutamanya kepada mereka yang mengalami kesakitan yang teruk, di mana ubat-ubat yang digunakan tidak lagi memberikan kesan. Pesakit boleh berjalan dengan baik tanpa bantuan dalam masa sebulan selepas pembedahan. Sendi lutut yang dipasangkan boleh bertahan lama untuk lima hingga 20 tahun sekiranya dijaga dengan baik.
Kesimpulan
Masalah osteoartritis terutamanya sendi lutut adalah masalah sendi dan tulang yang paling kerap dijumpai. Pemeriksaan serta rawatan awal adalah amat penting untuk mencegah kerosakan yang keterlaluan pada permukaan sendi. Rawatan awal penyakit osteoartritis termasuk kombinasi pelbagai rawatan klinikal yang ada. Ini bergantung kepada tahap keterukan penyakit bagi setiap individu.


Tips yang berguna
1.    Mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan yang bertauliah.
2.    Beritahu doktor sekiranya anda menggunakan suplemen makanan, herba, dan perubatan tradisional.
3.    Gunakan jenama ubat yang telah dibuktikan berkesan secara klinikal.
4.    Disebabkan ubat palsu semakin berleluasa dalam pasaran, dapatkan ubat anda dari pihak yang bertauliah seperti doktor dan farmasi.

  Sumber petikan daripada : http://psipum.org/sakit-sendi-osteoartritis-simptom-diagnosis-dan-rawatan/

No comments:

Post a Comment